Kepentingan mengekalkan hidrasi tubuh
TUBUH badan manusia terdiri daripada 75 peratus air dan 25 peratus bahan pepejal. Begitu juga dengan otak kita, mengandungi sebanyak 75 peratus air yang mana penghidratan sederhana boleh menyebabkan sakit kepala dan pening. Kebanyakan orang tidak menyedari akan peri pentingnya untuk mengekalkan kelembapan badan terutama sekali jika mereka mengamalkan gaya hidup aktif.
Keperluan badan terhadap cecair meningkat di dalam persekitaran panas dan lembap seperti halnya di Malaysia di mana, badan mengeluarkan peluh dengan lebih banyak sekali gus meningkatkan kadar kehilangan air.
Ambil sahaja contoh mudah, tumbuh-tumbuhan yang anda tanam di halaman rumah. Anda menyiram tumbuh-tumbuhan tersebut dan membajanya dengan baik sekali. Apa yang akan terjadi sekiranya anda tidak menyiraminya selama seminggu? Ia akan menjadi layu, bukan?
Itulah juga yang akan terjadi kepada tubuh badan kita jika tidak dihidrasi (diberikan air atau tidak mendapat kelembapan) sebagaimana yang sepatutnya.
Kadang-kala, dalam iklim yang lebih sejuk mahu pun persekitaran berhawa dingin, semakin banyak tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan suhu badan, semakin bertambahlah air yang diperlukan. Justeru, adalah sangat penting bagi kita untuk minum, tidak kiralah sama ada ia air masak, jus, minuman isotonik, susu mahu pun memakan buah-buahan serta sayur-sayuran yang secukupnya.
Peranan air di dalam badan kita
Air membantu hampir kebanyakan anggota badan manusia untuk berfungsi secara berkesan. Kita perlu memahami peranannya di dalam badan kita.
• Otak kita adalah 75 peratus air manakala darah, tulang dan otot-otot masing-masing mewakili sebanyak 92, 22 dan 75 peratus air
• Air penting untuk pernafasan dan mengawal atur suhu badan
• Air penting bagi melindungi dan `melapik’ organ-organ utama termasuklah sendi tulang
• Di samping itu, air membawa nutrien (zat makanan) dan oksigen ke semua sel-sel dalam
badan serta membantu tubuh menyerap nutrien
• Air menukar makanan kepada tenaga dan menyingkirkan sisa-sisa yang tidak dikehendaki.
Tanda-tanda penyahhidratan
Kesan penyahhidaratan boleh muncul dalam pelbagai bentuk dari dahaga dan lemah kepada kegagalan fungsi buah pinggang. Dalam kes-kes yang lebih ekstrem, penyahhidratan boleh membawa kepada keadaan koma dan mengundang maut.
Berikut adalah tanda-tanda penyahhidaratan yang berbeza-beza di antara setiap individu.
Penyahhidratan yang tidak begitu kuat
• Rasa dahaga
• Sakit kepala, kesan daripada tekanan atau stres mental dan/atau fizikal yang boleh
berpunca daripada tidak mendapat bekalan air mencukupi
• Mengalami keadaan letih lesu. Ini terjadi kerana jantung terpaksa bekerja keras untuk
membekalkan kulit dengan oksigen dan nutrien disebabkan oleh ketidakseimbangan
cecair
• Mulut dan tekak menjadi kering
Penyahhidratan sederhana
• Rasa keliru, terjadi disebabkan oleh kekurangan cecair di dalam sistem otak yang boleh
mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan. Ini kerana, otak mengalami
penghidratan yang sangat lemah yang mendorong kepada ingatan jangka pendek yang
teruk, bersama sakit kepala serius
• Degupan jantung menjadi kencang, pening kepala, mengakibatkan tekanan darah rendah
yang berpunca daripada penurunan darah
• Rasa lemah dan tidak bertenaga disebabkan oleh perubahan dalam keseimbangan cecair
di mana jumlah darah boleh menurun sekali gus menjejaskan prestasi dan rutin seharian
kita
• Air kencing menjadi sangat pekat tetapi jumlah pengeluarannya merosot
Penyahhidratan teruk
• Pengecutan otot-otot berlaku disebabkan oleh timbunan jumlah toksin atau bahan racun
dan bakteria yang terperangkap di dalam kelenjar limfa. Akibatnya, buah pinggan tidak
berupaya mengusir keluar toksin-toksin itu
• Lidah bengkak
• Peredaran darah yang lemah disebabkan oleh kuantiti darah yang semakin berkurangan
• Rasa lemah, tidak bermaya tambah ketara
• Buah pinggang tidak dapat berfungsi kerana tidak mendapat cecair yang mencukupi untuk menyingkirkan toksin.
Untuk hidrasi sewajarnya, adalah disarankan agar anda minum pelbagai jenis cecair termasuk air, susu, minuman isotonik, jus buah-buahan, sup, minuman dengan rasa buah-buahan dan mengambil buah-buahan serta sayur-sayuran segar dalam jumlah cecair dibenarkan, mengikut saranan.
Minuman isotonik memang mempunyai peranannya yang tersendiri di dalam hidrasi terutamanya bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif. Minuman isotonik yang mengandungi karbohidrat membantu menggantikan semula tenaga yang hilang manakala natrium bukan hanya menambahkan keenakan rasa cecair tetapi juga meningkatkan sensasi dahaga. Ia turut membantu memperbetulkan kehilangan garam akibat perpeluhan berpanjangan. Sementara itu, kalium, klorida dan magnesium tidak sekadar menggantikan semula elektrolit-elektrolit yang telah hilang di dalam peluh tetapi turut membantu pembendungan cecair serta menggalakkan penghidratan semula.
Mesejnya
Matlamat utamanya adalah untuk kekal terhidrasi secukupnya kerana dengan cara itu, suhu badan kita mampu dikawal atur. Dalam masa yang sama, bahan-bahan buangan dapat disingkirkan dari badan manakala sendi, organ serta tisu badan kita pula mendapat perlindungannya, dalam usaha mengekalkan gaya hidup sihat.
=====================================================================================
Fakta dan mitos minuman isotonic
Oleh MARY EASAW-JOHN
Fakta 1: Minuman isotonik adalah lebih baik dalam menggalakkan penghidratan berbanding lain-lain minuman.
Perpeluhan merupakan cara badan mengekalkan suhu terasnya pada 37’ celcius.
Akibatnya, badan kehilangan cecair dan elektrolit (mineral seperti klorida, kalsium,
magnesium, natrium dan kalium) dan jika dibiarkan boleh mendorong kepada penyahhidratan dan lama-kelamaan menyebabkan kelumpuhan peredaran dan strok haba. Terdapat dua faktor utama di dalam penyerapan cecair yang boleh memberikan kesan terhadap kepantasan cecair yang kita minum memasuki tubuh:
• Kepantasan cecair dikosongkan dari dalam perut
• Kadar cecair yang diserap melalui dinding usus kecil
Semakin tinggi tahap karbohidrat di dalam minuman, semakin perlahan kadar pengosongan perut. Minuman isotonik dengan tahap karbohidrat di antara enam dan lapan peratus dikosongkan daripada perut pada kadar yang hampir sama dengan air. Elektrolit-elektrolit, terutamanya natrium dan kalium di dalam minuman akan mengurangkan pengeluaran air kencing, membolehkan cecair mengosong daripada
perut dengan cepat, menggalakkan penyerapan daripada usus dan pembendungan
cecair.
Keosmolarian cecair adalah ukuran jumlah partikel-partikel di dalam rumusan. Didalam minuman, partikel-partikel ini akan terdiri daripada karbohidrat dan elektrolit. Dalam plasma darah, partikel-partikel akan mengandungi natrium, protein dan glukos.
Minuman dengan keosmolarian 270 hingga 330mOsm/kg (sama dengan keosmolarian darah) yang seimbang dengan cecair badan, dipanggil isotonic.
Minuman isotonik menggantikan cecair yang hilang dengan cepat melalui perpeluhan
serta membekalkan karbohidrat yang bertambah. Glukos merupakan sumber tenaga yang menjadi pilihan badan. Oleh itu, adalah wajar untuk mengambil minuman isotonik di mana sumber karbohidrat adalah glukos dengan pekatan enam hingga lapan peratus.
Fakta 2: Teh atau kopi tidak boleh membantu penghidratan
Teh atau kopi mengandungi kafeina. Penyahhidratan adalah salah satu hasil yang
berkaitan dengan pengambilan kafeina secara berlebihan. Kafeina menjejaskan buah pinggang dengan bertindak sebagai diuretik yang meningkatkan pengeluaran air kencing sekali gus meningkatkan kehilangan air dari badan. Teh dan kopi boleh menjadi sumber cecair. Bagaimanapun, ia tidak mengandungi elektrolit yang hilang menerusi peluh dan diperlukan untuk meningkatkan penghidratan semula. Adalah baik untuk mengambil minuman ini apabila status penghidratan kembali normal dalam jumlah yang disarankan.
Penghidratan yang mencukupi adalah penting bagi semua orang dan minuman isotonik menjadi pilihan cecair penghidratan semula bagi para pengguna yang menyukai kesegaran rasanya. Ia juga sesuai untuk mereka yang berhasrat mengelakkan kalori atau mengambil kafeina, gula, kalori atau pelbagai bahan yang didapati di dalam lain-lain minuman dalam jumlah yang disarankan.
Fakta 3: Jika air kencing berwarna legap, itu bermakna anda sedang mengalami penyahhidratan.
Berdasarkan kajian, warna air kencing boleh mendedahkan banyak perkara mengenai kesihatan anda - satu teknik diagnosis yang terlepas pandang. Bagi seseorang yang sihat, warna air kencing adalah dari hampir cerah ke kuning terang disebabkan oleh pigmen yang dikenali sebagai urokrom. Tetapi, apabila urokrom menjadi pekat, air kencing boleh bertukar menjadi kuning kehitaman atau coklat, menandakan sudah sampai masanya untuk anda minum.
Ia merupakan petunjuk penghidratan yang boleh digunakan sebagai penanda sama ada anda minum air yang mencukupi, khususnya dalam cuaca yang panas lembap. Jika anda berpeluh dengan banyak, air kencing akan menjadi lebih pekat kerana air kurang bersedia untuk membawa zat-zat terlarut. Jika pengambilan air ditingkatkan, pekatan akan menjadi cair secara automatik sekali gus menjadikan warna air kencing kembali normal. Tetapi, sekiranya anda mendapati air kencing masih berwarna kekuning-kuningan sekali pun selepas minum air dengan banyaknya, ada kemungkinan anda menghidapi penyakit kuning.
Lazimnya, air kencing pada awal pagi adalah lebih pekat berbanding pada waktu-waktu lain memandangkan kita tidak minum air semasa tidur. Jadi, untuk mengekalkan keseimbangan badan anda, kurang air dikumuhkan dan oleh itu, air kencing menjadi lebih pekat. Sememangnya, minuman isotonik memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan badan kita dalam keadaan yang lembap (terhidrat). Dan sekiranya anda meningkatkan pengambilan pelbagai sumber cecair, air kencing anda yang pada mulanya pekat boleh menjadi cair manakala warnanya kekal jernih. Untuk mencapai pengambilan cecair yang mencukupi, minumlah pelbagai jenis cecair seperti air, jus, minuman isotonik, minuman soya dan susu dalam jumlah yang dibenarkan.
Fakta 4: Minuman tenaga tidak boleh digunakan untuk penghidratan.
Matlamat penghidratan semula adalah untuk menggantikan cecair dan elektrolit yang telah hilang di dalam badan anda, dalam keseimbangan yang betul. Minuman isotonik dirumus khusus untuk meningkatkan penghidratan serta mengoptimumkan prestasi fizikal. Kajian-kajian menyokong faedah meningkatkan prestasi hasil pengambilan minuman isotonik bagi senaman yang berlangsung sekitar lebih kurang 30 minit. Meminum minuman isotonik selepas bersenam turut menggalakkan penghidratan semula di samping penambahan semula glikogen (karbohidrat yang terdiri daripada rantai-rantai bercabang unit glukosa).
Jumlah karbohidrat yang hadir di dalam minuman tenaga (misalnya 10 hingga 12 peratus) adalah bersamaan dengan minuman ringan dan jauh lebih tinggi berbanding minuman isotonik (biasanya di antara enam hingga lapan peratus seperti mana yang disarankan oleh Garis Panduan Antarabangsa).
Minuman tenaga sama ada mempunyai natrium yang terlalu sedikit atau terlalu banyak. Natrium merupakan elektrolit yang penting di dalam minuman isotonik. Ia membantu mengoptimumkan penghidratan dan mengekalkan rasa dahaga anda. Minuman isotonik dirumuskan dengan campuran karbohidrat dan natrium yang tepat
untuk penghidratan dan rasa yang optimum. Minuman tenaga, tidak seperti minuman isotonik boleh jadi mengandungi kafeina atau guarana yang diuretik yang mana boleh menambah penghasilan air kencing dan meningkatkan risiko penyahhidratan. Sesetengah minuman tenaga juga mungkin mengandungi ginseng, gingko biloba, asid amino taurina dan inositol iaitu sejenis alkohol gula yang tidak terbukti kesahihannya dalam mengekalkan penghidratan.
Fakta 5: Minuman isotonik sesuai bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif.
Adalah penting bagi individu yang mengamalkan gaya hidup aktif untuk kekal dalam
keadaan yang terhidrat. Minuman isotonik yang terdiri daripada gabungan air, gula dan elektrolit adalah sesuai untuk penghidratan tubuh badan. Bagi penghidap diabetes yang melakukan senaman secara intensif (bersungguh-sungguh), minuman isotonik boleh membantu merela menggantikan semula cecair yang hilang serta menghalang hipoglisemia. Adakah juga dinasihatkan bagi individu yang menghidap diabetes agar berunding dengan pakar dietetik sukan mengenai pelan pemakanan dan minuman mereka terlebih dahulu sebelum melakukan jadual senaman mereka.
Sementara itu, bagi penghidap tekanan darah tinggi, pengambilan natrium anda tidak
boleh melebihi 2,400mg sehari atau lebih rendah daripada jumlah ini. Secawan minuman isotonik 240ml mengandungi 115mg natrium klorida. Oleh itu, semua makanan dan minuman yang mengandungi natrium seharusnya diambil kira jika anda menghidapi hipertensi (tekanan darah anda tinggi). Membaca label produk sebelum mengambil sebarang makanan atau minuman merupakan satu langkah bijak.
Mary Easaw-John merupakan seorang pakar perunding diet yang mempunyai 23 tahun pengalaman di dalam bidang pemakanan dan dietetik. Maklumat di atas tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk mendidik orang ramai, tanpa menyokong mana-mana produk. Sebarang pertanyaan mengenai isi kandungan dan penggunaannya hendaklah dirujuk kepada pakar diet berkelayakan.
No comments:
Post a Comment