Wednesday

Bahaya Botol Plastik Kitar Semula

Trend penggunaan botol plastik untuk air mineral dan minuman ringan semakin popular sejak kebelakangan ini. Pelbagai bentuk, rupa dan warna boleh didapati di pasaran dengan pelbagai jenama.

Menjadi lumrah tabii manusia setelah minuman habis diminum, botolnya sayang untuk dibuang. Malah digunakan semula untuk menyimpan air di rumah, sebagai bekal ke pejabat, sekolah dan juga semasa aktiviti riadah. Memanglah ini merupakan satu tindakan yang bijak sebagai satu usaha mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar.

Tetapi Awas! Penggunaan secara berulang kali botol-botol plastik tersebut boleh membahayakan kesihatan.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh penyelidik dari University of Calgary, Kanada bahawa penggunaan semula secara berulang kali botol plastik mengundangkan pembiakan bakteria bahaya dan kebocoran bahan toksik dari botol plastik itu sendiri ke dalam air.

Hasil dari kajiannya menunjukkan kehadiran bakteria tersebut adalah berpunca daripada tangan dan mulut kanak-kanak yang menggunakannya berulang kali tanpa mencuci atau mengeringkannya. Ini adalah berdasarkan hasil analisisnya ke atas sampel air lebihan daripada 76 botol plastik yang telah diguna semula oleh kanak-kanak sekolah rendah di Kanada.

Di samping pencemaran bakteria, penggunaan berulang kali dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan berlakunya kebocoran bahan kimia akibat dari botol yang retak, kemek atau botol yang selalu dicuci. Ini merupakan satu penyelidikan yang dijalankan oleh graduan Universiti Idaho yang menunjukkan bahawa menggunakan semula botol plastik yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate (PET) boleh menyebabkan air di dalamnya dicemari bahan-bahan kimia yang tidak sepatutnya ada dalam air minuman.

Salah satu daripada toksin yang kerap kali didapati pada sampel air minuman dari botol plastik kitar semula adalah diethylhydroxylamine (DEHA). DEHA digunakan dalam pembuatan plastik sebagai bahan pelembut. Namun sehingga kini kesannya kepada pengguna masih belum dapat dipastikan. Tetapi daripada data kajian yang dijalankan terhadap haiwan, DEHA berupaya merosakkan sistem peranakan dan menghasilkan janin yang cacat, selain mengakibatkan kanser hati walaupun perkara yang sama tidak ditemui pada tikus.

DEHA didapati mempunyai aktiviti yang menyamai sejenis hormon estrogen (dianggap sebagai hormon wanita kerana mampu memberikan sifat-sifat kewanitaan). Namun kesan sebenarnya masih belum diselidiki sepenuhnya. Maklumat yang diperoleh daripada haiwan kajian, walaupun mungkin tidak boleh dikaitkan secara langsung kepada manusia, boleh menjadi satu petunjuk tentang apa yang mungkin terjadi kepada manusia.

Sekiranya kita boleh merasakan plastik daripada air yang diminum, segera buangkan botol berkenaan kerana ia menunjukkan kemungkinan kebocoran kimia telah berlaku.
Oleh itu sebaik-baiknya botol-botol plastik hanya digunakan untuk sekali sahaja bagi mengelak kemudaratan kesihatan.

No comments:

Post a Comment