Saturday

10 - PENGHALANG KEJAYAAN

Jika anda menghadapi kesusahan ketika anda sedang berusaha untuk membina impian, ketahuilah bahawa anda termasuk dalam 10 penghalang kejayaan ini:

Tiada matlamat, tiada impian


Perkara pertama yang menghalang anda berjaya ialah anda gagal mencipta impian dalam hidup anda. Betapa pentingnya impian untuk berjaya? Impian umpama mimpi indah yang anda akan jadikan pembakar semangat untuk terus berusaha dan berusaha. Impian adalah matlamat yang akan meransang anda untuk langkah-langkah kejayaan seterusnya.

Suka memberi alasan


Alasan akan menutup segala jalan yang sedang terbuka untuk anda berusaha. Begitulah bahaya alasan dalam menghalang kejayaan anda. Alasan juga akan melumpuhkan setiap inci pemikiran anda. Bila diteliti memang benar pepatah melayu “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dalih adalah alasan yang sering anda berikan ketika peluang kejayaan datang berada di depan mata anda.

Takut mencuba


Mengapa negara kita masih kurang mereka yang kreatif dan kaya raya? Kerana boleh dikatakan antara sikap yang sukar diubah dalam diri kita ialah TAKUT. Takut yang tidak kena pada tempatnya. Takut pada peluang yang akan membuat anda berjaya. Perahu dan pendayung sudah berada bersama anda. Cuma yang tiada hanya daya upaya untuk mencuba belayar ke seberang. Mana mungkin anda berjaya!

Selalu cakap tak boleh


Anda adalah cara anda berfikir. Boleh atau tidak boleh? Anda yang tentukan. Jika boleh anda akan membuka ruang pemikiran untuk langkah seterusnya. Jika cakap tidak boleh maka anda telah pun mencampakkan diri anda ke arah kegagalan. Mengapa Malaysia menggunakan slogan Malaysia Boleh! Kerana jelas bahawa sikap orang Malaysia sebenarnya suka cakap tidak boleh. Anda juga mahu begitu ke?

Terlalu bergantung pada orang lain


Tidak salah anda sebagai manusia bergantung harap pada orang lain kerana kita manusia tidak mampu melakukan segalanya seorang diri. Tapi silapnyaanda terlalu bergantung pada orang lain. Sehinggakan anda tertinggal bab usaha dalam diri anda. Anda mula meletakkannya pada orang lain. Sikap begini sudah pasti menghalang diri anda dari berjaya.

Usaha tak sepadan harapan


Hayati kata-kata motivasi Michael Jordan lagenda bola keranjang dunia, “Saya selalu percaya jika kita berusaha bersungguh hasilnya akan datang. Saya tidak melakukan sesuatu itu dengan separuh hati sahaja. Kerana saya tahu sekiranya saya melakukan begitu saya akan mendapat keputusan yang separuh juga.” Begitulah juga dengan anda. Usaha perlu seiring dengan impian anda. Jangan menjadi Mat Jenin dalam berusaha. Impian hanyalah langkah pertama untuk berjaya. Tetapi usaha adalah langkah-langkah yang seterusnya. Untuk hasil 100% usaha perlu juga 100% atau sebaiknya 120%. Barulah hasilnya adalah kejayaan.

Kurang fikir dan zikir


Anda faham maksudnya? Penghalang kejayaan juga ialah anda jaan menggunakan minda anda untuk berfikir tentang kehebatan-kehebatan kejadian Allah Subhanahu Wataala. Terlalu banyak hikmah yang boleh dipelajari dari kejadian-kejadian Allah ini. Zikir dan fikir ini akan meletakkan anda selalu merenung diri, muhasabah keburukan untuk memperbaikinya.

Mudah terpengaruh


Anda sebenarnya mempunyai idea yang hebat. Anda juga mempunyai peluang di depan mata. Kenapa masih gagal? Kerana sedikit sahaja. Kawan anda memberitahu anda bahawa idea anda ini kolot dan sukar untuk diketengahkan. Anda akhirnya terpengaruh dan akhirnya orang lain mengambil idea anda dan mereka berjaya menggunakan idea anda. Sayangnya bukan. Tetapi inilah yang sering berlaku pada kehidupan harian kita. Pengaruh telah melunturkan keazaman yang ada.

Tidak istiqamah


Di manakah letaknya kejayaan jika istiqamah tiada dalam usaha anda? Istiqamah adalah tanda konsisten dalam usaha anda. Lebih baik sedikit demi sedikit yang berterusan daripada banyak tetapi hanya sekali sekala. Inilah yang diajarkan Islam dalam berusaha. Anda banyak membaca hari ini untuk peperiksaan anda, tetapi esok lusa dan seterusnya anda berehat. Percayalah akal manusia perlu diasah setiap hari. Belakang parang pun jika diasah sekali sahaja tajamnya jauh beza dengan mereka yang mengasahnya setiap hari.

Kurang ilmu


Kejayaan bukan bermakna usaha tanpa ilmu tetapi anda mengaplikasikan ilmu dalam usaha anda. Anda mempelajari sesuatu dari sesuatu. Sekiranya anda memerlukan ilmu untuk mencapai kejayaan anda jangan malu untuk belajar lagi. Ilmu adalah sumbangan besar kepada usaha anda.

No comments:

Post a Comment