Tip 1: Mula kembali
Andai berusaha tetapi tidak berjaya, jangan berhenti di situ. Mula kembali. Kalau orang Barat cakap “When things are not going right or you get knocked down, bounce right back again.” Selidik punca kegagalan. Dan kemudiannya mulakan langkah baru. Lekuk yang berlaku kerana disebabkan air, bukan kerana setitik air yang meniti itu terus membentuk lekukan tersebut. Malahan titisan tersebut jatuh berulang dan berulang sehingga membentuk lekuk tersebut. Anda juga boleh!
Tip 2: Komitmen 100%
Bagaikan tidak ada rasanya dalam kisah kejayaan mereka yang berusaha dan berkomitmen 60% tetapi mendapat hasil 100%. Mustahil melainkan tuah yang Allah SWT berikan. Bermakna nak berjaya dan bahagia anda perlu setiap hari memberikan komitmen kepada misi dan visi hidup anda. Berikan sepenuh tumpuan untuk mencapai apa yang anda inginkan. Bukan melepaskan batuk di tangga atau hangat-hangat tahi ayam. Tetapi buat betul-betul.
Tip 3: Cari penyelesaian bukan alasan
Semestinya dalam karier dan kehidupan akan hadapi banyak sekali cabaran dan masalah. Tetapi kita kadang-kadang terkeliru adakah apa yang kita lakukan itu adalah jalan penyelesaian atau alasan yang akan memburukkan lagi keadaan tersebut. Orang yang dilanda masalah dengan negatif akan mencari alasan. Dan orang yang menghadapi masalah dengan positif akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin walau apa pun caranya.
Tip 4: Bina hubungan dengan orang lain
Nak berjaya dalam karier memang kena banyak kenalan. Lagi ramai lagi bagus. Bak kata pepatah Melayu “Berkawan biar seribu”. Tak kiralah apa jua pekerjaan yang anda ceburi. Part-time atau profesional semuanya memerlukan ramai hubungan untuk berjaya. Begitulah juga jika ingin bahagia. Bina hubungan dengan orang lain sekurang-kurangnya kita dapat mempelajari kehidupan orang lain untuk memperbaiki perhubungan dalam keluarga kita. Ataupun jika kita dilanda masalah kita mempunyai ramai sahabat untuk kita minta doakan kita agar berjaya dan bahagia.
Tip 5: Jaga diri anda
Paling penting sebelum kita jaga orang lain, jaga diri sendiri. Jaga diri anda melalui tiga cara: kesihatan anda, perhubungan anda dengan orang lain dan kerjaya anda. Hilang imbangan ketiga-tiga perkara ini akan memberikan anda tekanan-tekanan yang lain pula. Jangan lupa jaga DIRI ANDA! Apabila kesihatan terganggu anda akan tidak dapat melakukan kerja dan juga tidak dapat membina hubungan dengan orang lain. Begitulah apabila anda hilang kerjaya, sudah pasti tidak ada sesiapa yang ingin membina hubungan dengan anda.
Tip 6: Keluarlah dari kegelapan
Wah! Keluar dari kegelapan bermakna anda mencari cahaya bukan? Memang benar. Nak berjaya, nak bahagia jangan terlalu terikat dengan pemikiran yang lama. Cubalah sesuatu yang baru, lebih kreatif dan dapat meransang diri untuk terus membina kejayaan diri, keluarga dan kerjaya.
Tip 7: Jadilah tangan yang di atas
Jadilah insan pemurah. Mereka yang pemurah akan diberkati Allah. Allah SWT akan mempermudahkan urusannya kerana banyak membantu orang lain dan manusia pula akan terus mendoakannya agar berada dalam kebahagiaan di dunia dan akhirat. Bayangkan bila semua orang doakan kita. Perasaan tenang dan bahagia mula hadir dalam diri kita.
Menjadi insan pemurah bukan mengharapkan anda memberi derma beribu-ribu baru dianggap pemurah. Memadailah anda seorang yang suka membantu orang lain.
Tip 8: Cari di mana keseronokkan bekerja
Andai sudah hilang rasa seronok untuk bekerja sekarang, jangan terus dalam keadaan demikian. Pastikan apa yang anda perlukan untuk mengembalikan susasana keseronokkan tersebut. Jika anda memerlukan cabaran yang baru, suasana baru dan rakan kerja yang baru tiada salahnya jika itu semua menuntut anda untuk berhijrah ke tempat kerja yang baru.